4 Jun 2024, Selasa – Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Menjalankan Fungsi Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim telah menerima kunjungan hormat daripada Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) yang diketuai oleh Pemangku Komandan, Lt. Kol Valzahmer Errino bin Mohd Tahir bagi membincangkan jalinan kerjasama dalam pemerkasaan latihan dan pembelajaran di PULPAK dengan kepakaran sedia ada UMT.
Pertemuan ini turut dihadiri oleh Ketua Cawangan Bantuan Latihan Markas Latihan, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Citra Pelajar (PKCP), Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), wakil Dekan Fakulti Pengajian Maritim (FPM) serta Ketua Jurulatih PALAPES Darat UMT. Lawatan ini bertujuan untuk meneroka pelbagai aspek teknologi dan metodologi yang boleh digunakan bagi meningkatkan kecekapan serta keberkesanan latihan. Kedua-dua pihak telah bertukar pandangan dan idea mengenai strategi terbaik bagi mencapai matlamat tersebut.
Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri turut menyatakan bahawa, universiti akan memberikan komitmen untuk menyediakan kepakaran akademik dan sumber yang diperlukan bagi menyokong inisiatif ini. Diharapkan kunjungan ini akan membuka jalan kepada jalinan kerjasama yang lebih kukuh antara UMT dan PULPAK serta Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam bidang latihan dan pendidikan.